Seramai 32 penternak ikan kerapu hibrid di Laguna Semerak di sini, mengalami kerugian lebih RM1 juta apabila ternakan mereka mati sejak beberapa hari lepas akibat banjir.
Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Semerak Mustapa Bakar berkata kejadian dipercayai berlaku apabila air hujan (tawar) melimpah secara berlebihan ke kawasan laguna itu yang memiliki 2,100 petak sangkar ikan.
Jelasnya, beribu-ribu ikan kerapu hibrid yang diternak mati setiap hari sejak beberapa hari lepas. Ikan kerapu hibrid diternak untuk pasaran Kuala Lumpur, Johor dan Singapura boleh dijual pada harga RM60 sekilogram.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata ikan berkenaan sepatutnya boleh dipasarkan pada Februari tahun depan sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Sementara itu, seorang penternak Wan Ahmad Taufik Wan Shukri, 24, berkata dia mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila sebilangan besar daripada 18,000 ekor ikan yang diternaknya mati.
Katanya, sekarang hanya tinggal kira-kira 4,000 hingga 5,000 ekor ikan yang masih hidup.
Sumber: HM
BERITA BERKAITAN..
Laguna Semerak Dibaik Pulih RM12 Juta
Kerajaan Kelantan akan memulihkan semula kawasan penternakan ikan Laguna Kuala Semerak di sini melalui peruntukan RM12 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim.
Beliau berkata peruntukan itu bakal digunakan untuk membina terusan sepanjang satu kilometer bagi melancarkan aliran air, sekali gus meningkatkan kandungan oksigen di lagun tersebut dalam membantu proses tumbesaran ikan yang diternak para peserta di kawasan tersebut.
Katanya, pembinaan terusan itu juga dapat menyelamatkan para penternak daripada terus mengalami kerugian kerana ternakan mereka sebelum ini sering mati dipercayai berpunca akibat sistem perairan tidak teratur di kawasan itu.
“Saya sudah membawa perkara ini (masalah Laguna Semerak) ke pengetahuan pihak kementerian. Masalah Laguna Semerak ini sudah dimasukkan dalam RMK-12 dan Insya-Allah masalah akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan pelet makanan ikan kepada Persatuan Penternakan Ikan Laguna Semerak (PPILS) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Hassan berkata peruntukan untuk membina terusan itu juga boleh mengatasi masalah pencemaran air di Laguna Semerak, terutamanya ketika dilanda banjir pada musim tengkujuh.
“Ini disebabkan air dari laguna itu tidak dapat keluar ke laut, manakala air laut pula tidak dapat memasuki kuala yang tertimbus mengakibatkan airnya terperangkap, tercemar dan kekurangan oksigen.
“Pencemaran itu berlaku setiap kali musim banjir apabila air dari daratan yang membawa pelbagai pencemaran toksik mengalir ke kawasan berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Wan Hassan menyampaikan 1,000 beg pelet makanan ikan kepada seramai 50 penternak ikan di Laguna Semerak, yang bertujuan meringankan beban penternak yang berdepan kerugian besar pada hujung tahun lalu.
“Sumbangan pelet makanan ikan gred A ini membabitkan peruntukkan berjumlah RM100,000 daripada kerajaan negeri,” katanya.
Sumber: HM