Tetamu Satu Malam | Nama aku Man. Memang nama sebenar dan aku harap jika dia membaca confession aku ni dia tahu yang dia masih dalam doaku. Oleh kerana dialah aku berubah walaupun aku terlupa untuk bertanyakan namanya. Terima kasih juga kepada admin sekiranya sudi memilih confession aku ni untuk disiarkan.
Terima kasih juga kepada penulis (CPA) yang sudi memilih kisah aku ini
untuk di jadikan sebuah penulisan yang lengkap walaupun cerita yang aku
hantar itu agak berterabur dan lintang pukang ayatnya.
Malam itu dalam linkungan jam 12 malam. Aku bersama beberapa orang kawan
sedang minum-minum di restoran mamak di sekitar Bandar Jerantut.
Tiba-tiba dalam kesamaran cahaya lampu jalan, aku terpandang sesusuk
tubuh sedang berjalan sambil menjinjing beg besar. Daripada paras rupa
dan bentuk tubuh aku dapat teka usianya mungkin dalam belasan tahun.
” ‘Ushaa’ lah Man… Ada ‘rezeki’ kita shared lah… Kau kan romeo…”
Ujar kawan aku yang mungkin perasan aku sedang memerhatikan lenggok
gadis itu. Atas desakkan dan cabaran kawan-kawan, aku bangun dengan laju
menuju ke arahnya. Dia kelihatan agak ketakutan dan cuba mempercepatkan
langkahnya.
” Nak pergi mana bawa beg besar ni…?”
Tegur aku lembut. Dia diam dan masih berjalan.
” Depan sana tu gelap… Adik jalan sorang-sorang ni bahaya. Nak kemana…?
Bas stop dah tak ada bas. Teksi pun dah tutup.”
Dia berhenti dan memandang aku. Tepat ke mata aku. Jantung aku terhenti
sebentar. Pandangan mata nya benar-benar menusuk. Paras wajahnya yang
lembut itu membuat aku akui memang sempurna sekali ciptaan tuhan.
” Bas malam pun tak ada ke…? ”
Soalnya naif… Aku menggeleng dan memujuk dia supaya ikut aku ke kedai
mamak itu.
” Mari ikut abang kita minum-minum dulu. Kat sana kawan-kawan abang
semuanya baik-baik. Mamak tu buka 24 jam… Kita ‘lepak’ sana dulu tunggu
sampai pagi. Lepas tu abang hantar pergi bas stop…”
Beberapa minit mendiamkan diri akhirnya dia bersetuju. Aku membantu dia
membawa begnya. Keras dan berat…!! Aku hairan kerana anggaran berat yang
berada di dalam beg itu bukanlah seperti membawa sejumlah baju.
Dia duduk di sebelah aku. Tenang menyedut Nescaffe ais.
” Saya nak buat ‘call’ sekejap…”
Dia bangun meninggalkan begnya berjalan menuju ke ‘public phone’ yang
berada tidak berapa jauh daripada kedai mamak itu. Aku mengambil
kesempatan itu membuka beg yang dibawanya tadi.
Bukan niat untuk menceroboh peribadinya tetapi untuk pastikan kami
selamat berada bersamanya. Bimbang jika dia salah seorang yang dijadikan
sebagai ‘kambing hitam’ oleh pengedar dadah.
Benar jangkaan aku. Bukan pakaian sahaja yang berada di dalam beg
tersebut tetapi ada beberapa buah buku sekolah dan senaskah Al Quran.
” Bawah umur lah… Aku tak nak masuk penjara sebab rogol budak bawah
umur. Aku rasa budak ni lari daripada rumah lah sebab dia bawa dengan
buku-buku sekolah sekali. Nak pergi mana malam-malam ni… Esok isnin kan
sekolah…”
Kawan aku bersuara berdasar kan apa yang di tulis di buku tersebut dia
masih di tingkatan 3. Aku segera tutup zip beg tersebut. Dia datang
menghampiri kami tanpa sebarang syak wasangka.
” Call siapa…? So nak pergi mana ni…?”
Aku juga mula berasa bimbang untuk berada bersama budak bawah umur yang
kemungkinan besar sedang melarikan diri daripada rumah itu. Kawan-kawan
aku seorang demi seorang berlalu pergi meninggalkan aku bersama dia.
” Entah… Tak tahu… ‘Call’ kawan tadi dia tak angkat…”
Jawab dia perlahan. Ada air mata mengalir di pipinya. Aku tewas. Tidak
sampai rasanya hati untuk meninggalkan dia keseorangan di situ. Akhirnya
aku mengambil keputusan untuk membawa dia bersamaku. Tapi kemana…?
Aku buntu… Mana mungkin aku membawa dia pulang ke rumah. Mengamuk pula
mak dan ayah aku nanti kerana bawa anak dara orang balik ke rumah pada
malam-malam buta begini.
Akhirnya aku mengambil keputusan untuk membawa dia ke rumah satu-satunya
kakak yang aku ada di Felda Kota Gelanggi, agak jauh daripada bandar
tersebut supaya dia dapat berehat dengan tenang.
Setibanya di rumah kakak ku, aku disoal dengan pelbagai soalan. Semuanya
aku jawab hanya dengan mendiamkan diri. Bukan niat aku untuk membisu
tetapi memang aku tiada jawapan untuk setiap soalan-soalannya tadi.
Aku sendiri tidak tahu kenapa aku sanggup membawa dia dengan hanya
menunggang RXZ di malam hari, meredah hujan dan kabus ke rumah kakak
aku. Buka ke hotel atau ke rumah bujang kawan-kawan.
Aku juga tidak tahu siapa dia, daripada mana asalnya dan kenapa dia
berada di tengah-tengah bandar itu sendirian. Apa yang paling melucukan,
aku sendiri tidak boleh menjawab soalan kakak kepadaku tentang siapa
nama gadis itu.
” Kau ni tempah maut betul lah Man. Bawa anak orang malam-malam macam
ni… Nama tak tahu, anak siapa, dari mana… Kakak tahu esok kau bawa dia
keluar sebelum abang kau balik. Kau bukan tak tahu abang kau kerja apa…?
Nanti dengan kau, aku dia campak dalam lokap…”
Omel kakakku terus masuk dalam bilik. Aku menghampiri dia. Kakakku
langsung tidak menegur dia. Tapi tak apalah asalkan kami dapat tumpang
bermalam.
Aku pimpin tangannya bawa ke bilik. Aku ambil tuala yang diberikan oleh
kakak ku tadi. Aku lap muka dan rambut nya yang basah. Aku minta dia
mandi untuk segarkan diri.
” Abang tak tahu kenapa adik boleh berada bersama abang malam ni. Abang
juga tidak tahu dan tidak mahu tahu apa masalah adik. Cuma abang mahu
adik rehat dan tenangkan diri. Adik selamat dengan abang di sini. Esok
abang akan hantar adik ke mana sahaja adik nak pergi.”
Nyataku padanya. Aku pun tidak tahu kenapa aku boleh jadi ‘semulia’ itu
pada malam tersebut. Sedangkan aku bukanlah golongan orang yang baik.
Aku seorang ‘mat rempit’ yang sering mendapat habuan tubuh wanita
sebagai hadiah. Jika minta dipilih sebatang tubuh perempuan dengan wang
ringgit aku rela memilih tubuh itu.
Berbekalkan wajah yang agak menarik dan poket yang tebal memudahkan lagi
aku mencari mangsa daripada seorang perempuan kepada perempuan yang lain
dalam masa itu terus terang aku nyatakan aku tidak pernah ‘merasa’
dara…! Mungkin belum ‘rezeki’ aku.
Malam itu aku gelisah bila memikirkan tubuh kecil molek yang sedang lena
di bilik. Aku kepanasan tidur di ruang tamu sedangkan hujan diluar tidak
berhenti mencurah. Aku bangun dan membuka pintu bilik yang tidak berkunci.
Dia lena memakai kain batik yang sedikit tersingkap menampakkan betisnya
yang putih. Aku berpaling, akal ku melarang memandangkan dia masih di
bawah umur dan jika dia buat report aku akan di cas seorang perogol.
” Kenapa…?”
Tiba-tiba dia bangun dan duduk dibirai katil. Aku menelan air liurku
yang terasa amat pahit sekali.
” Owh abang nak pastikan adik okay dan jangan lupa kunci pintu… Bimbang….”
” Adik okay… Abang kan ada… Apa adik nak takut…”
Dia jawab lalu kembali baring di katil sambil menarik selimut. Allah SWT
sahaja yang tahu bagaimana aku menahan nafsu yang selama ini aku gagal
mengawalnya. Aku terus menutup pintu bilik dan laju menekan lock dari dalam.
Aku berlari ke bilik air, mandi dan terus berwuduk. solat Insya’…!!
Yaaa aku solat Insya’ yang pertama setelah hampir belasan tahun aku
tinggalkan… Baru aku tahu betapa letih dan lesunya jika kita berlawan
dengan godaan nafsu. Alhamdulillah aku berjaya.
Azan Subuh bergema dan aku juga solat Subuh…!! Allahuakbar…. Sepanjang
malam itu aku hanya duduk di sejadah… Kuasa tuhan… Disaat aku hampir
tewas berlawan dengan nafsu aku minta pertolongan dariNya dan ternyata
aku tidak gagal…
Aku ketuk pintu bilik dia minta dia bersiap dan seperti aku janjikan
dengan kakak sebelum kakak aku bangun, sebelum terbit fajar aku akan
bawa dia pergi.
” Kemana…?”
Soalku padanya bila dia membisu. Pelukkan tangannya erat dipinggangku
dan dapat aku rasakan kepalanya lentok di belakang ku. Mungkin masih
mengantuk.
” Lena tak tidur malam tadi…?”
Soalku lagi bila dia masih membisu.
” Lena… Abang…?”
Soalan apakah ini dik… Hatiku bersoal kembali.
” Tentulah lena… Hujan kan…!”
Aku tipu sedangkan mataku tidak mampu lena walau sesaat pun. Tubuhnya
yang sedang memekar itu menari-nari dimataku seorang lelaki yang punyai
nafsu.
” Cepat lah buat keputusan nak kemana adik oi… Sekejab lagi kita nak
keluar simpang felda. Samada nak balik ke Jerantut semula atau ke Jengka…”
Kataku perlahan.
” Saya nak buat call…”
Katanya perlahan. Aku berhentikan motor di sebuah ‘public phone’.
” Kawan adik cakap apa…?”
Soalku lembut dan dia tunduk lalu menangis… Aku terdiam kaku…
” Dia tak angkat. Malam tadi dia suruh saya tunggu dekat bas stop nanti
dia ambil. Kemudian saya call dia dah tak angkat…”
Jawabnya perlahan…
” Boyfriend…?”
Aku cuba meneka. Dia mengangguk.
“Lari dari rumah sebab boyfriend…?”
Aku meneka lagi.
” Saya keluar dengan dia tengok wayang, balik dah lewat. Abang dapat
tahu saya keluar tengok wayang dia marah. Abang nak hantar saya ke
sekolah budak-budak jahat. Saya tak mahu. Saya takut…”
Akhirnya dia bercerita…
” Allah dik… Meh sini abang nak cakap. Abang ada 3 orang adik. Salah
seorang tu sebaya dengan adik tingkatan 3. Abang mana yang nak tengok
adik dia buat jahat. Abang pun tak nak tengok adik abang jadi jahat
walaupun abang sendiri jahat.
Tiap kali abang marah abang selalu ugut nak hantar ke juvana lah, nak
tanam diorang hidup-hidup lah… Tapi hakikatnya abang tak buat pun… Marah
tu tanda sayang dik…”
Nasihatku dan aku juga minta maaf kepadanya kerana aku telah membuka beg
dia malam tadi. Dia menangis di bahuku. Aku peluk dia kuat-kuat tapi
bukan bernafsu. Tiada lagi nafsu kesumat dijiwa aku untuk dia.
Aku pandang dia hanya sebagai adik walaupun sebenarnya aku tidak punyai
adik. Aku terpaksa menipu dia supaya dia faham erti kemarahan seorang abang.
” Saya nak balik Kuantan rumah mak… Tapi… Boleh ke abang hantarkan…?”
Akhirnya dia bersuara setelah hampir sejam membisu dan aku menanti
dengan sabar dia membuat keputusan.
Kuantan…? Allah jauhnya… Bukan aku tidak mahu menghantarnya. Aku bimbang
aku akan hilang pekerjaan memandangkan sudah beberapa hari aku sudah
ponteng kerja termasuklah hari itu.
” Jauh tu dik… Apa kata abang cari tiket bas, abang temankan adik sampai
bas datang sehingga bas itu bergerak…”
Aku memujuk lagi. Dia mengangguk dan aku bersyukur. Aku hulurkan
sejumlah duit untuk bekalan dia di sepanjang perjalanan. Selepas bas
bergerak meninggalkan Bandar Jengka. Aku pun bergerak pulang ke Jerantut.
Itu cerita 23 tahun lalu… Yaaa cerita ini agak lama berlaku. Aku juga
sudah insaf dan bertaubat tetapi ia tidak pernah padam daripada ingatanku.
Sebenarnya tiada niat untuk aku membangkitkan cerita lama. Cuma
baru-baru ini aku terbaca artikel seseorang yang mempertikaikan tentang
per0g0l dan mangsa. Siapa yang bersalah…? Perogol ataupun mangsa.
Terus terang aku nyatakan disini… Pada malam tersebut jika aku inginkan,
boleh sahaja aku memaksa atau mengambil kesempatan diatas kenaifan dia.
Waktu itu dia sangat tidak berdaya kerana di dalam poketnya hanya ada
beberapa keping note 1 ringgit sahaja. Lelaki yang diharapkan untuk
menjemputnya langsung tidak menunjukkan muka. Dia hanya ada aku. Tapi
kenapa aku masih mampu bertahan kerana aku masih waras…!!
Tik Tok, Filter camera, Selfie atau apa sahaja gaya hidup kita di media
sosial sebenarnya tidak ada kena mengena dengan issue rogol…!! Ada jer
yang berselfie menggunakan filter itu tertutup auratnya… Ada jer yang
bermain Tik Tok itu datangnya daripada golongan yang sudah ‘senja’.
Tapi aku tidak lah bersetuju jika anak-anak aku beraksi seperti itu di
media sosial kerana agak kurang manis akhlaknya. Setakat selfie
menggunakan filter masih aku boleh terima kerana semua orang ingin
kelihatan cantik dan menarik.
Jangan sesekali menyalahkan mangsa apabila berlakunya kes rogol kerana
kita tidak berada di tempatnya. Kita tidak tahu betapa ‘struggle’ nya
dia melawan si perogol.
Kita tidak tahu bagaimana cara dia mengatasi traumanya kerana telah
menjadi mangsa rogol. Ianya adalah salah daripada si perogol itu
sendiri. Gagal menahan nafsu…!! Gagal menggenggam Iman…!!
Iman dan kewarasan kita, kita sendiri yang pegang. Bukan mereka yang
berpakaian seksi, bukan mereka yang menggunakan filter ketika berselfi
dan bukan juga mereka yang bermain dengan aplikasi tik tok.
Sebenarnya ia datangnya daripada hati… Ramai jer kita lihat orang yang
tidak menutup aurat khususnya yang bukan Islam terselamat daripada
menjadi mangsa rogol.
Cuba fikirkan sejenak, jika berlakunya kejadian r0g0l di mana mangsanya
adalah terdiri daripada wanita yang menutup aurat, nenek tua, warga OKU,
kanak-kanak kecil dan bayi-bayi baru lahir… Adakah mereka yang bersalah
membenarkan diri mereka dirogol…?
Iman…!! Tanyalah hati, peganglah Iman… Semuanya bermula daripada situ.
Hanya kewarasan dan iman yang bezakan kita dengan binatang.
Tanpa iman dan akal yang waras kita sama dengan binatang yang sering
kelihatan mengejar mangsa hanya untuk melepaskan sepancut nafsu kemudian
tinggalkan dia bersama benih tanpa rela.
Aku tidak pandai bermain dengan hadis seperti beliau. Aku bercerita
melalui pengalaman. Itu pengalaman aku. Setelah aku di datangi oleh
tetamu satu malam itu, aku sedar bahawa aku boleh mengawal nafsu.
Selepas hari itu sehinggalah ke hari ini…
Alhamdulillah tiada lagi perempuan yang aku tiduri. Aku lebih
mendekatkan diri dengan Allah… Bukan kerana melihat sebatang tubuh kita
berkehendakkan seks… Bukan…!! Ianya boleh dikawal dengan iman dan akal
kerana kita bukannya binatang yang bernafsu buas…
– Man (Bukan nama sebenar)
Kredit: IIUM Confessions