Viral Lelaki Dimandikan Macam Jenazah, Didenda RM4k Penjara 10 Hari

| January 13, 2022 | 0 Comments

Viral Lelaki Dimandikan Macam Jenazah, Didenda RM4k Penjara 10 Hari | Seorang remaja yang tular selepas dijirus air mengikut prosedur mandi jenazah dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana cuba mencuri tabung masjid lima hari lalu.

Viral Lelaki Dimandikan Macam Jenazah, Didenda RM4k Penjara 10 Hari

Daniel Iskandar, 19, yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 9 Januari lalu dan tambahan jel lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Sebelum menjatuhi hukuman, Majistret Nik Mohd Fadli menegur tindakan tertuduh bahawa mencuri merupakan satu kesalahan.

“Tahu apa salah awak? Duit itu, orang bagi untuk pembangunan masjid, awak cuba curi dan letak pula dalam bilik jenazah.

“Harap benda ini dijadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak,” katanya.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyembunyikannya dalam bilik mandi jenazah.

Perbuatan itu dilakukan di masjid berkenaan di Kilometer (KM) 28 Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Ia merupakan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 380, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, manakala Seksyen 311 membawa hukuman, pemenjaraan tidak boleh melebihi setengah daripada tempoh yang diperuntukkan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang juga siak masjid mendapati tabung masjid telah hilang.

Selepas membuat semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki merosakkan tabung sebelum mengheret dan menyembunyikannya di bilik mandi jenazah.

Selepas membuat rondaan di kawasan sekitar, mereka menemui suspek dan mengaku ketika disoal berhubung kejadian tersebut.

Sementara itu, peguam, Azman Abdullah yang mewakili tertuduh secara pro bono (tanpa bayaran) merayu, agar mahkamah menjatuhi hukuman ringan dengan alasan insaf dengan perbuatan yang dilakukan dan memohon maaf kepada pihak masjid serta mahkamah.

Menurutnya, Daniel merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan kini tinggal bersama datuk selepas ibu bapanya bercerai ketika dia berusia lapan tahun.

“Saya dimaklumkan, alasan dia (cuba mencuri) memerlukan wang untuk membeli ubat datuknya yang menghidap penyakit kencing manis.

“Dia cuba meminta daripada orang lain tetapi mereka tidak boleh tolong. Yang Arif, tiada kerugian kerana ia hanya cubaan semata-mata, malah dia sangat memerlukan wang itu,” katanya.

Azman berkata, kes ini tular di media sosial selepas ada pihak lain menyebarkan video anak guamnya dimandikan di bilik jenazah, sedangkan tindakan itu adalah tidak wajar dan secara tidak langsung memberi tekanan kepadanya dan keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira, kepentingan awam dan mencegah daripada orang lain serta tertuduh sendiri melakukan kesalahan sama di masa depan.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan, seorang pemuda dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap mencuri duit tabung masjid.

Video berdurasi seminit 25 saat tular di media sosial, telah dikongsikan pengguna Twitter, dengan memaparkan pemuda berkenaan sedang terbaring dan dimandikan oleh pihak masjid sambil diperhatikan penduduk kampung.

Sumber : Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *