Viva Palestina Malaysia Hantar Lebih Banyak Bantuan Perubatan Di Gaza | Seperti yang kita tahu, serangan rejim Zionis terhadap Palestin semakin berterusan dan masih tidak serik walaupun telah mendapat kutukan dan kecaman orang ramai di seluruh negara. Bahkan, tindakan tentera Israel yang menyasarkan serangan udara mereka terhadap institusi kesihatan dikatakan akan memberi kesan yang amat buruk kepada sistem penjagaan kesihatan di Gaza.
Kuala Lumpur: Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata pihaknya bertindak segera dengan menghantar lebih banyak bekalan perubatan kepada Kementerian Kesihatan di Gaza yang bernilai RM42,000. Menurutnya, sumbangan yang berjumlah sebanyak RM126,000 untuk tujuan perubatan juga telah dihantar kepada lapan hospital amal di Gaza.
Dalam pada itu, Dr Musa turut berkata, pada masa kini semakin ramai mangsa yang telah dirawat di hospital selepas pencerobohan ganas Israel memasuki hari kelapan.
“Kami sedang menyelaras proses pemindahan pesakit yang cedera daripada hospital-hospital di Gaza ke Hospital Al-Makassed, Timur Baitulmaqdis,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Selain bantuan perubatan yang diberikan oleh VPM, Dr Musa berkata, organisasi itu turut mengambil berat aspek kemiskinan, makanan, bekalan air bersih dan juga tempat berlindung yang perlu ditangani dengan segera. Katanya, VPM setakat ini sudah membina tujuh loji rawatan air masin untuk membekalkan air yang selamat dan bersih manakala 10 lagi masih dalam proses pelaksanaan.
“Kita juga membekalkan bakul makanan, memasak makanan panas untuk untuk keluarga yang hilang tempat tinggal serta pesakit dan keluarga yang menunggu di hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Musa turut menempelak alasan mempertahankan diri oleh Israel sedangkan mereka menyerang ibu pejabat Kementerian Kesihatan sehingga mengorbankan pegawai kesihatan termasuk dua doktor terkemuka iaitu Dr Mouin Aloul dan Dr Ayman Abu Al-Ouf.
Katanya, turut dilaporkan semalam ialah pengeboman sebuah makmal pusat yang menjadi tempat ujian virus Covid-19.
“Adakah ini tindakan mempertahankan diri? Ini adalah jenayah perang,” tegasnya.
Sumbangan kepada tabung Rayuan Kecemasan Palestin boleh dibuat kepada akaun Pertubuhan Viva Palestina Malaysia 5-64-324-601324 (Maybank) atau secara online dengan kerjasama dUCk di https://bit.ly/3tSaP9l #VIVAPALESTINA #GAZA.
Sumber: Berita Harian