Bukan mahu terjun jambatan sebaliknya hanya mahu menenangkan fikiran dengan melihat air sungai di Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini.

Itu alasan seorang wanita berusia 36 tahun yang disangka cuba terjun dari jambatan apabila dilihat berada di penghadang jambatan pada jam 2 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.03 petang daripada orang awam berkaitan perkara itu.

“Seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, kami mendapati wanita itu dalam keadaan tenang dan terkawal.

“Kami memujuknya untuk beredar dari kawasan itu dan mengajak ke lokasi lain bagi mendapatkan maklumat lengkap.

“Mangsa yang datang ke jambatan itu dengan menaiki kereta sendiri memberitahu dia menghadapi masalah keluarga dan kami juga menghubungi ahli keluarganya untuk datang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ahmad Fakaruddin berkata, wanita itu diberi kaunseling selama kira-kira satu jam sebelum diserahkan kepada keluarganya dan tiada laporan dibuat terhadap kejadian itu.

Sumber : Harian Metro

 

ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA

Mayat wanita warga Rusia yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan berhampiran sangkar ikan di perairan Pulau Jerejak, di sini semalam.

Mayat mangsa berusia 34 tahun itu ditemukan tersangkut di sangkar ikan berkenaan kira-kira jam 1.42 petang .

Pengarah Agensi Penguatkuasaan MaritimNegeri (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan daripada pemilik sangkar ikan terbabit.

Katanya, bot ronda Kilat 26 kemudian diatur gerak ke lokasi sebaik menerima laporan.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa adalah wanita warga Russia berusia 34 tahun yang disyaki terjun dari jambatan berkenaan kira-kira jam 2.35 pagi semalam.

“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diserah kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat dan operasi pencarian tamat pada jam 3 petang.

Terdahulu dalam kejadian itu, Abd Razak berkata Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi carilamat pada jam 6.55 pagi sejurus menerima maklumat.

“Wanita berkenaan dipercayai terjun dari jambatan berkenaan di kilometer 5.4 arah Georgetown menghala ke Prai dengan meninggalkan beg serta dokumen pengenalan diri.

“Operasi berkenaan turut membabitkan PPM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya lagi.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply