Jasad seorang penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang lemas ketika mandi bersama rakan di Pantai Tanjung Rhu, di sini semalam berjaya ditemukan pada jam 1.24 tengah hari Ahad.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mayat Muhammad Fahmi Hafizi Zulkiflli, 20, ditemukan terapung 50 meter dari pantai oleh pasukan penyelamat.

“Mayat mangsa disahkan ibu saudara dan sepupunya yang berada di pantai itu untuk pengecaman.

“Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha Langkawi untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dalam kejadian jam 7 petang Sabtu mangsa dikatakan sedang mandi bersama rakan lain di Pantai Tanjung Rhu sebelum tiba-tiba lemas.

Rakan mangsa yang lain cuba menyelamatkan mangsa namun gagal kerana arus air kuat ketika itu.

Mangsa merupakan penuntut Kejuruteraan Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Jenderam Hulu, Selangor baru dua minggu berada di Pulau Langkawi untuk menjalani latihan amali.

Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula jam 8 pagi tadi melibatkan seramai 69 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Sumber : AA 

 

ARTIKEL YANG BERKAITAN

Pelajar 20 Tahun Lemas Dihanyutkan Ombak Di Pantai Tanjung Rhu.

LANGKAWI – Seorang pelajar jurusan kejuruteraan penerbangan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak kuat ketika mandi di Pantai Tanjung Rhu di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai, Muhammad Fahmi Hafizi Zulkifli, 20, dari Langgar, Alor Setar dekat sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.20 malam semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dan beberapa rakan sedang berenang di Pantai Tanjung Rhu sebelum lemas.

“Mangsa cuba diselamatkan oleh rakan dan pelancong yang berada berhampiran, tetapi gagal kerana alun yang kuat,” katanya di sini, hari ini.

Kata beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan 57 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Operasi SAR yang diaktifkan selepas kejadian ditangguhkan pada pukul 12 tengah malam tadi (semalam) dan disambung pagi ini,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa baru sahaja dua minggu berada di pulau peranginan ini bagi menjalani latihan praktikal.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply