Lagi kes pemandu kereta bawah umur selepas kejadian di Langkawi bulan lalu dan kali ini melibatkan seorang kanak-kanak lelaki dikesan memandu kereta dalam keadaan berbahaya di Kampung Pendamar, Klang, Selangor pada Sabtu.

Menerusi video yang dimuat naik dalam aplikasi Telegram Update Info pada Sabtu, tindakan kanak-kanak itu memandu di sebuah jalan raya turut dirakam oleh orang awam yang dipercayai rakan kepada budak lelaki tersebut.

“Sentiasa awasi anak-anak kita. Budak sekolah bawah umur, lingkungan 11 tahun memandu kereta. Tengok pada video, budak ini sesuka hati memandu dan bergelak ketawa bawa kereta. Kejadian berlaku di Kampung Pendamar, Klang,” tulis info tersebut.

Dalam video berdurasi seminit 21 saat, budak lelaki itu dilihat memandu sebuah Proton Saga berwarna silver dalam keadaan jalan raya yang sesak.

Turut bersama dalam kereta, seorang penumpang dipercayai rakan kanak-kanak berkenaan.

Dalam video tersebut, kedengaran suara perakam yang juga kawan lain kepada kanak-kanak tersebut.

“Aduh budak ini, buat hal bawa kereta. Apa yang dia buat? Kau tengok apa yang dia buat?

“Anak siapa ini? Kau tengok dia bawa kereta. Dia bawa kereta,” katanya.

Dalam video itu juga, budak lelaki yang memandu kenderaan tersebut sempat memberhentikan keretanya ketika berada di sebuah simpang dan meminta rakannya itu tidak merakam videonya.

“Janganlah rekod, jangan rekod,” katanya.

Salah seorang daripada mereka turut menegur tindakan kanak-kanak tersebut yang memandu dalam keadaan berbahaya.

“Kau nak mati ke b***h?, nanti aku beritahu bapa kau,” kata rakannya itu.

Kanak-kanak itu kemudiannya dilihat beredar daripada lokasi berkenaan.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Sumber : MO

 

 

ARTIKEL LAIH YANG BOLEH DIBACA

Remaja 13 Tahun Bawa Kereta Bersama Kawan Ditahan Polis

BUKIT MERTAJAM – Seorang pelajar Tingkatan Satu ditahan bersama rakan sekolahnya selepas didapati memandu sebuah Proton Iswara di Jalan Rozhan, Machang Bubok di sini pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, kedua-dua pelajar itu ditahan pada jam 8 malam Rabu di hadapan Flat Taman Machang Bubok di sini selepas polis mengesan satu klip video yang tular di aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, turut ditahan, ibu kepada pelajar sekolah yang memandu kenderaan berkenaan.

“Pada jam 3 petang semalam (Rabu), kita mengesan satu klip video berdurasi 32 saat yang tular di Whatsapp yang memaparkan seorang remaja 13 tahun memandu sebuah kereta bersama rakannya.

“Mereka telah ditahan oleh orang awam di lokasi berkenaan selepas memandu kira-kira 4 kilometer (km) dari rumahnya.

“Susulan daripada itu, polis berjaya menahan seorang pelajar Tingkatan Satu bersama ibunya yang berusia lewat 40-an dan rakan sekolahnya. Polis turut menyita kereta Proton Iswara tersebut untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, polis masih mengesan dua lagi rakan remaja tersebut untuk melengkapkan siasatan.

“Maklumat yang diperolehi adalah, terdapat empat remaja di dalam kereta tersebut termasuk yang memandu. Dua sudah ditahan dan kita sedang mengesan dua remaja lagi.”Kita telah mengeluarkan saman ke atas remaja yang memandu kereta itu di bawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu tiada lesen memandu. 

“Sementara itu, kita juga telah menyaman ibu remaja tersebut yang juga pemilik kenderaan di bawah Seksyen 39 ( 5 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu kenderaan bermotor,” katanya.

Cheng San berkata, polis menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak di bawah umur memandu atau menunggang kenderaan kerana ia bukan saja boleh membahayakan kanak-kanak itu sendiri malah membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Awal Mei lalu, dilaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun menyelinap keluar dari rumahnya di Kampung Padang Mengkuang, Langkawi bersama adik lelakinya berusia tiga tahun lalu memandu Toyota Vios.

Ketika kejadian, bapa mereka sedang tidur manakala ibu kanak-kanak itu berada di dalam bilik air.

Kanak-kanak lelaki berkenaan telah memandu kereta tersebut sejauh kira-kira 2.5km sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, berhampiran Kampung Titi Chanwang.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply