Seutas Tasbih Buat Si Malang

| July 7, 2020 | 0 Comments

Seutas Tasbih Buat Si Malang | Assalamualaikum para pembaca sekalian. Nama aku Cik Mawar, berusia 31 tahun. Walaupun nama aku Cik Mawar, nasib hidup aku macam cinderella, malah lebih teruk.

Aku seorang yang cemerlang dalam pelajaran tapi aku bukanlah jenis yang
bercita tinggi, nak ambil course apa dekat universiti dulu pun aku tak
tahu nak ambil course apa. Atas nasihat orang sekeliling, aku ambik
course yang menjanjikan kerja sejurus habis belajar.

Pekerjaan aku pekerjaan yang professional. Kerja kerajaan bergaji 5k++.
Tapi, nasib malang bermula pada bulan 5 tahun lepas, aku diberhentikan
kerja serta merta.

Bagaimana terjadi, kisahnya agak panjang dan ianya akan menjadi satu
lagi karangan ngeri disebabkan nasib aku yang malang, yang tak pandai
membela diri sendiri dan mengalah diam saja.

Semenjak berhenti kerja, aku ada cuba (selalu) mencari kerja dan ada
membuat part time sambil-sambil itu.

Hinggalah februari yang lalu, aku mula mendapat kerja yang lebih stabil,
iaitu kerja setiap hari kecuali hari minggu. Tapi kerja ni gaji bayar
hari. Kira macam belum tetap lagi lah. Ini kerja masih selari dengan
kerja professional aku.

Tapi di bulan march, covid melanda dan pkp dilaksanakan. Ujian datang
lagi, boss tempat aku kerja mula minta aku untuk tidak datang kerja
kerana bisnes yang perlahan dan tak dapat tampung kos upah pekerja
seperti aku.

Jadinya, aku mengganggur lagi sepanjang pkp. Pkp makin lama makin
panjang dan aku masih belum dipanggil untuk kerja kembali. Jadi,
sekarang aku terpaksa mencari kerja di tempat lain dan masih mencari.

Owh, ya. Aku sebenarnya sudah berkahwin. Semasa aku masih bekerja tetap
aku bantu suami untuk bayar sewa rumah dan barang keperluan yang lain.
Aku tak pernah berkira.

Tapi semenjak aku tak bekerja dia terpaksa bayar sewa rumah sendiri.
Namun barang keperluan aku masih guna duit aku, sebab aku bukan jenis
meminta.

Tapi, rasanya masalah kewangan ini sedikit sebanyak memberi tekanan pada
suami aku dan hubungan kami tak bahagia. Makin kerap bergaduh, tiada
persefahaman.

Pejam celik pejam celik, sudah setahun aku berhenti kerja tapi…aku tak
pernah bagitahu ibu aku di kampung. Bila balik kampung, aku buat macam
biasa. Belikan barang dapur, bagi duit belanja pada ibu seperti biasa.

Cuma, aku makin jarang balik memikirkan kos tol dan minyak. Kadang2, aku
hanya pindahkan wang pada kakak aku untuk diberi belanja pada ibu untuk
mengurangkan kos ulang alik ke kampung.

Sekarang, aku di kampung setelah lama tak pulang akibat pkp. Sedang
bersembang di dapur, akhirnya aku bagitahu pada ibu yang aku sudah tidak
bekerja tetap. Aku menangis ketika itu.

Ibu terkejut dengan pengakuan aku. Ibu bertanya sudah berapa lama, aku
jawab jujur sudah setahun.

“Ibu minta maaf, ibu tak tahu… kereta bayar macam mana?”

Aku jawab yang aku korek duit tabung haji untuk tampung kos hidup aku
sekarang ini.

Ibu sekali lagi minta maaf pada aku. Entah untuk apa, aku pun kurang
pasti. Air mata aku masih laju keluar… bukanlah niat aku balik kali ni
untuk berterus terang dengan ibu tapi ada sesuatu yang sentiasa bermain
di benak fikiran aku… sambil menangis teresak-esak aku bertanya pada ibu,

“Orang tak tahu kenapa hidup orang jadi macam ni bu, orang tak ada apa2…
orang tak ada rezeki kerja, tak ada rezeki hubungan yang baik dengan
suami, tak ada rezeki anak…. Orang ada buat perkara yang ibu tak redha
kat orang ke… orang ada dosa dengan arwah abah ke…”

Laju ibu menjawab, “tak ada, nak… ibu tak pernah doa buruk-buruk untuk anak
ibu. Ibu halalkan tiap titis susu ibu pada anak-anak ibu.

“Orang bukan nak tak nak bagitahu ibu, tapi orang tak nak ibu susah hati
tentang orang”

“Seorang ibu mesti susah hati tengok anaknya derita tak bahagia susah
macam ni”.

“Orang rasa nak bunuh diri… sebab orang tak nak susahkan siapa-siapa”

“Jangan, nak… Allah benci yang tu”

Aku tahu Allah benci, tapi dugaan ni tak tertanggung. Aku tahu Allah
bebani hambaNya sesuai dengan apa yang boleh ditanggung… tapi dugaan
serentak begini, aku sebenarnya tidak mampu.

Keinginan membvnvh diri itu menjengah sekali sekala. Bagaimana cara
untuk bvnvh diri dengan mudah, aku pernah google. Tapi jawapannya hampa,
yang pernah google je tahu apa jawapan yang google bagi.

As expected, ibu aku susah hati. Kerana itulah aku merahsiakan semua ini
tapi aku tak mampu nak tanya apa yang bermain di benak fikiran aku,
tanpa ku berkata jujur pada ibu.

Aku sebenarnya ingin beritahu setelah aku mendapat kerja yang stabil
tapi aku takut, aku takut kerana tak ada redha ibu lah, aku jadi begini.
Tanpa redha ibulah aku tak mampu dapat kerja tetap.

Masa ibu solat zohor, aku perasan ibu menangis ketika berdoa. Juga di
solat asarnya pada petang itu. Sekali sekala ibu berkata pada aku boleh
amalkan surah yasin dan waqiah untuk murah rezeki.

Mak juga hadiahkan seutas tasbih untuk aku sentiasa berzikir, aku
bagitahu mak aku ada berzikir tapi hanya menggunakan jari untuk
bilangan. Mak cakap susah nanti lost track.

Aku ada berdoa, tapi aku tahu doa ibu lebih mujarab. Lebih mudah sampai
pada yang maha mendengar lagi mengasihani. Doa seorang ibu lebih mudah
diangkat, lebih mudah termakbul.

Macam zoroe zoroe (ntah macamana sebut) aku cuba guna senjata terakhir
aku. Untuk itu, aku terpaksa bayar dengan berterus terang.

Lepas pengakuan berani mati itu, aku bawa ibu keluar beli barang dapur,
ibu banyak kali cakap dia nak bayarkan. Aku tak sampai hati juga, aku
bayarkan.

Kami dari keluarga susah, ibu cakap ibu tak mampu nak bagi aku apa-apa
selain airmata. Ibulah yang paling memahami sedalam2nya isi hati anaknya
ini.

Yang sudi membaca, sudi-sudi lah doakanlah aku agar dimurahkan rezeki dari
segi pekerjaan, anak dan hubungan yang baik bersama suami aku.

Untuk pengetahuan korang, suami ada menyatakan hasrat untuk berpisah 2
minggu yang lalu. Mana tahu, doa rawak korang ada juga yang diangkat.

Untuk itu, aku dahulukan dengan ucapan terima kasih. Moga bahagia milik
kita diakhirnya walau bagaimanapun, pengakhirannya itu.

Dan… Sebelum pulang ke bandar, aku ada menyatakan hasrat pada ibu, jika
aku mati… bawa aku pulang. Aku ingin pulang. Sekali lagi, ke sisi ibu.

– Cik Mawar (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Tags: , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *